Hasil penemuan penyelidikan bersama
Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Universiti Otago, New Zealand
menunjukkan kebanyakan wanita di Malaysia mendapat kurang daripada 50
peratus jumlah kalsium yang disarankan untuk kesihatan tulang.
Pengambilan kalsium yang rendah merupakan antara faktor risiko utama
yang menyumbang kepada berlakunya penyakit osteoporosis yang bermaksud
‘tulang poros’.
Sempena sambutan Hari Osteoporosis
Sedunia pada 20 Oktober 2008 lalu, wanita Malaysia diingatkan untuk
menjaga kesihatan tulang mereka bagi menghindari osteoporosis. Pakar
Runding Ortopedik dan Pakar Bedah Trauma, Dr. Chin Chee Howe memaklumkan
bahawa sumber yang tinggi kalsium datang dari produk tenusu seperti
susu segar, keju dan yogurt. Bagaimanapun, produk tenusu terbabit jarang
menjadi antara diet ruji penduduk negara ini.
“Osteoporosis adalah sejenis penyakit
yang ‘senyap’ dan serius. Kebanyakan wanita hanya mengetahui mereka
menghidapinya selepas mengalami retak atau patah tulang. Kesihatan
tulang manusia merosot secara berperingkat dan beransur-ansur dari umur
30-an. Namun, ianya belum terlambat untuk mula menjaga kesihatan tulang
anda,” katanya.
Boleh Dicegah
Osteoporosis bukannya sejenis penyakit
yang boleh disembuhkan tetapi ia dapat dicegah. Retak atau patah tulang
pinggul merupakan antara yang paling biasa berlaku di kalangan penghidap
osteoporosis. Ia hampir pasti akan membawa kepada kemasukan wad dan
juga boleh membawa maut dalam satu daripada setiap lima (20 peratus) kes
patah tulang pinggul.
Antara 30 hingga 50 peratus lagi (yang
patah tulang pinggul) berkemungkinan besar mengalami kecacatan kekal
yang akan mengganggu pergerakan harian mereka kelak. Walaupun banyak
berlaku di kalangan wanita, tidak bermakna lelaki terlindung daripada
osteoporosis. Namun, lelaki mempunyai kelebihan yang memberi lebih
perlindungan daripada penyakit tersebut di mana kebanyakan lelaki
menjalani cara hidup aktif dan secara semula jadi mempunyai jisim tulang
yang lebih tinggi berbanding wanita.
Kesan osteoporosis di Asia dijangka
meningkat dengan perangkaan lebih 50 peratus kejadian retak atau patah
tulang pinggul dunia akan berlaku di rantau ini menjelang 2050. Oleh
itu, penduduk Asia, terutamanya wanita, disaran mendapatkan keperluan
kalsium harian secukupnya (antara 800 hingga 1,000 miligram) di samping
nutrien penting lain seperti protein, zink, magnesium dan vitamin D yang
diperlukan untuk mengekalkan tulang yang kuat dan sihat.
Segelas susu
berkalsium tinggi mengandungi 500 miligram (mg) kalsium dan dua gelas
susu tersebut cukup untuk membekalkan jumlah kalsium yang disarankan
setiap hari.
Sumber dari: http://pmr.penerangan.gov.my/index.php/sosial/1346-keperluan-kalsium-wanita.html
No comments:
Post a Comment